Monday, May 28, 2007

Madah Asyik Berhelah

Ntahapehapentahhhhhh….
Buat kerja tak sudah sudah…
Badan longlai kaki rase lemah…
Nak berjalan jauh demam belum kebah…
Punyalah banyak masalah…

Ntahapehapentahhhhhh….
Cite bola semua nak mencelah…
Dari kabinet sampailah budak belum sekolah..
Ini semua Man Utd punya pasallah…
Sampai jadi Asia punya masalah…

Ntahapehapentahhhhhh….
Isu pokok sesiapa pun tak ambil kisah..
Masing-masing kononnya pandai menunjuk arah…
Dengan harapan kuasa tempatan laku dan gagah…
Tak sedar badan dunia kuasanya ditauliah…
Di mana-mana ceruk dan segala celah…
Sekarang kata orang lain tak tahu beralah…
Walhal sendiri yang mencari masalah…

Ntahapehapentahhhhhh….
Ingatkan dengan pangkat boleh nak megah-megah..
Tapi dunia luar pandang endah tak endah…
Patut la bola sepak tahapnya semakin rendah…
Boleh nak kata hampir cecah ke tanah…
Nasib baik Timor Leste yang baru bebas dari penjajah..
Kalau tidak ‘kompom’ duduk di bawah..
Itu la, siapa suruh cari masalah…

Ntahapehapentahhhhhh….
Tak ingat ke Lebai Malang punya ‘sejarah’…
Ke hulu ke hilir nak makan bertambah…
Negara merdeka 50 tahun dah…
Yang jadi pemimpin gaya masih macam kene jajah…
Ape ke jadah..?? sudah-sudahlah…
Takkan nak diulang dulu-dulu punya sejarah…
Orang hantar keluar negara, tak habis belajarkah…
Atau terlebih belajar, sampai semuanya nak diredah…
Ingat balik susur galur dan aliran darah…
Kita bukannya jenis tak tahu membantah…
Jangan sampai tergadai maruah dan tanah…

Akhir kata dan madah…Isu ini memang isu Ntahapehapentahhhhhh….

Skuad Sukan Sea Korat LA!!!

Skuad Olimpik Beijing 2008 (takde maknenye!)


Melihat kepada nama yang diberikan kepada skuad ini, penulis merasakan sesuatu yang amat hebat, gemilang, penuh warna warni dan persaingan tahap tertinggi. Iyalah, skuad ini dinamakan sempena satu temasya sukan terunggul di dunia. Walau bagaimanapun, skuad bimbingan individu yang diberi kuasa dan mandat oleh badan pengurusan bola sepak negara ini bagaikan tidak mencapai tahap dan piawaian sebagai sebuah pasukan yang berjuang melayakkan diri ke temasya sukan tersebut.

Penulis berpeluang ke stadium MBPJ untuk menyaksikan skuad ini beraksi di tempat sendiri pada perlawanan pusingan kelayakan. Pada perlawanan pertama yang berkesudahan skuad negara tewas 1-2 di tangan Jepun, ada sinar-sinar kebangkitan dan kemajuan pada skuad ini. Tambahan pula skuad ini berjaya mengalahkan Hong Kong di tempat lawan sebelum itu. Perlawanan kedua, di saat-saat peminat setia bola sepak tempatan mengharapkan kemenangan, skuad ini tumpas secara total kepada Hong Kong dengan keputusan 0-1.

Apabila perlawanan ketiga menjelang tiba, penulis amat berat untuk ke stadium sekali lagi atas alasan skuad ini telah melepaskan peluang yang terhidang cantik di depan mata apabila tewas perlawanan sebelumnya. Mujurlah ada rakan-rakan penulis yang masih bersemangat untuk menyokong skuad pelapis negara. Akhirnya, dalam perlawanan menentang Syria yang berkesudahan seri 0-0, penulis turut menontonnya di dalam stadium. Ada bezanya sedikit dari kunjungan-kunjungan sebelumnya. Penulis duduk bersebelahan tempat duduk utama di belakang bangku simpanan skuad negara.

Sepanjang perlawanan skuad negara menentang Syria, terdengar jeritan-jeritan semangat kepada para pemain. Tidak kurang juga suara-suara kekecewaaan yang berbaur kemarahan oleh penyokong-penyokong yang meragui prestasi semasa para pemain. Semua itu asam garam permainan bola sepak. Semua peminat tahu bahawa bola sepak adalah permainan yang memberi impak besar kepada emosi seseorang. Apatah lagi penonton dan peminat mengeluarkan wang untuk datang ke stadium dan membeli tiket untuk menonton perlawanan. (Lainlah jika yang masuk ke stadium itu secara percuma, mungkin ahli keluarga salah seorang pemain ataupun cuma bernasib baik diberi tiket ‘complimentary’ yang terlebih cetak!!).

Setelah melihat sendiri di stadium ketiga-tiga perlawanan peringkat kelayakan, penulis merasakan bahawa memang ini sahajalah produk yang mampu dihasilkan oleh badan pengurusan bola sepak professional negara kita. Penulis merasakan perubahan drastik dari segi prestasi dan daya saing tinggi di kalangan pemain-pemain yang bergelar professional tidak mampu diolah dalam tempoh terdekat. Bola sepak negara sekadar cukup-cukup makan sahaja (hatta perjalanan liga ‘professional juga diuruskan sesedap rasa!). Aah, jika difikirkan secara mendalam, tiada apa yang penulis dapat lakukan kerana ruang pengaruh penulis tidaklah seberapa besarnya. Yang luas hanyalah ruang prihatin. Cukup! Mari berbalik kepada cerita asal!

Skuad Olimpik, kita tahu siapa jurulatihnya. Seorang yang telah lama berkecimpung dengan dunia kejurulatihan (atau lebih baik disebut ‘negara’ kejurulatihan kerana belum sampai ke tahap dunia). Penulis terpanggil untuk bercerita mengenai beliau kerana penulis amat berminat dengan ulasan, kata-kata, kenyataan yang beliau lafazkan kepada penulis-penulis dan wartawan-wartawan sukan bertauliah semasa sidang akhbar selepas perlawanan menentang Syria. Antara perkataan yang beliau sebutkan dengan penuh emosi adalah “kita tidak setaraf Syria, kita hanya bertaraf Asia Tenggara”, “pasukan ini disediakan untuk Suka Sea Korat”. Mungkin ada lagi yang diperkatakan, tetapi tidak disiarkan oleh pihak media massa yang mendapat pass masuk ke sidang akhbar tersebut.

Pada pendapat penulis, kata-kata sebegitu tidak patut diluahkan oleh seorang yang bergelar jurulatih. Jika individu yang membimbing pelapis-pelapis ini mempunyai tahap pemikiran sebegini, bagaimana pula dengan mereka yang berada di bawah bimbingannya? Bukankah kita perlu menanamkan kepercayaan dalam diri bahawa kita setaraf dan mampu bersaing dengan negara lain? Jika semangat Asia Tenggara sahaja yang ada pada pemain-pemain, memang itu sahajalah yang mampu mereka lakukan!

Menurut beliau, sejak awal lagi skuad ini dipersiapkan untuk menghadapi Sukan Sea Korat. Jika benar itu matlamat utama, mengapa skuad ini tidak dinamakan sebagai skuad Sukan Sea Korat? Kenapa dalam perlawanan-perlawanan peringkat kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008 ini, hampir 90 peratus pemain yang dipanggil adalah pemain-pemain yang sama? Kenapa tidak membuat percubaan secara menyeluruh dengan memanggil lebih ramai pemain? Dari sudut yang lain pula, kenpa digembar-gemburkan bahawa skuad ini mempunyai peluang untuk layak ke pusingan kedua kelayakan Olimpik? Adakah atas alasan pemain-pemain telah menunjukkan tahap prestasi yang amat baik, atau semata-mata memberi harapan kepada penyokong setia bola sepak negara?

Itu baru perihal jurulatih yang mempunyai keyakinan tinggi dan kepercayaan penuh bahawa skuad ini akan dapat meraih kejayan Sukan Sea Korat nanti (Apakah ukuran kejayaannya, marilah kita sama-sama nantikan!) Bagaimana pula dengan badan pengurusan bola sepak negara? Di saat skuad Sukan Sea Korat menentang Syria, pihak pengurusan pula amat sibuk bermain tarik tali bersama-sama FIFA, AFC dan kerajaan Malaysia berhubung lawatan Manchester United ke sini pada bulan Julai nanti. Hinggakan pada hari perlawanan menentang Syria tiada langsung berita mengenai perlawanan ini di dalam akhbar harian. Di manakah fokus pihak pengurusan pada masa ini, adakah kejayaan skuad Sukan Sea Korat, lawatan Manchester United ke negara ini (ramai pelancong asing yang akan hadir!), Piala Asia (tiada pelancong asing rasanya) atau publisiti murahan di peringkat antarabangsa?. Tanya pihak pengurusan dan mereka yang terlibat secara langsung, tidak langsung, di pentas utama atau di belakang pentas. Mereka sahaja yang mengerti hala tuju sebenar perjuangan yang mereka hadapi.

Cukuplah setakat ini kerana jika difikirkan lebih mendalam, lebih banyak ketidakpuasan akan dirasai. Kata-kata penulis hanya laku di kedai kopi dan di kalangan ruang pengaruh yang amat kecil. Tiada apa yang dapat penulis lakukan untuk mengubah senario bola sepak tempatan, selain dari terus menyokong skuad negara beraksi di tempat sendiri secara berbayar (tiket percuma hanya sekali sekala). Tidak perlu penulis memberi idea-idea bernas kerana mereka yang berkuasa lebih arif dalam mencorak bolasepak negara. Hakikatnya, tiada harapan untuk untuk bola sepak kita menyinar dalam masa yang singkat, selagi pengurusan dan pembimbing generasi pelapis masih selesa duduk di bawah tempurung. Akhir kata, ‘HARAPAN PELESU’ semata-mata.