dipetik dari furqanonline rasenye... ala ilang plak link
Lantaran Surau al-Furqan telah mengosongkan slot pagi Ahad, ia telah memberi peluang kepada ahli qariah untuk 'bertebaran di mukabumi' mencari pengisian di luar kawasan. Satu lagi program menarik pada hujung minggu ini. Kali ini, persatuan Nisa Shah Alam telah menganjurkan satu 'Talk Show' bersempena dengan sambutan Hari Ibu. Tajuk Talk Show tersebut adalah 'Setitis Air Mata Ibu'. Yang menarik perhatian penulis ialah ahli panel yang dijemput terdiri dari Ustaz Hasrizal Abd Jamil iaitu pengendali laman sesawang Saifulislam.com dan seorang tokoh motivasi wanita yang terkenal di tanahair iaitu Dr Rubiah K Hamzah. Program tersebut telah diadakan di dewan seminar di tingkat bawah Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah di Shah Alam, bermula dari jam 9:30 pagi.
Inilah kali pertama penulis membawa isteri menghadiri kursus atau seminar di luar kawasan Puncak Alam. Setibanya di Masjid Negeri, kawasan parkir di sekitar masjid telah sesak dengan kenderaan. Sangkaan penulis, hebat sungguh sambutan program kali ini. Oh, rupa-rupanya ada beberapa program lain sedang berlangsung di sana termasuk kursus persediaan bakal haji dan kursus perkahwinan kepada bakal pengantin. Riuh rendah juga kawasan di sekitar ruang bawah masjid dengan pelbagai aktiviti dan juga gerai khas yang menjual barangan.
Apabila memasuki dewan seminar yang sudah sesak dengan para Muslimat kebanyakannya dan sedikit Muslimin di suatu sudut, penulis berjumpa pula dengan seorang ahli qariah Puncak Alam. Juga terdapat beberapa Muslimat dari Puncak Alam yang menghadiri program tersebut.
Beberapa point yang sempat penulis catatkan semasa program telah diringkaskan seperti di bawah:
Di antara ulasan yang diberikan oleh Ustaz Hasrizal termasuk:
1. Hadith akhir zaman mengenai tanda-tanda kedatangan hari qiamat – salah satu tanda yang disebut oleh Nabi SAW ialah apabila perempuan melahirkan anak-anak yang akan menjadi tuan kepada mereka. Gambaran akhir zaman dengan gejala anak yang derhaka akan menjadi satu perkara biasa. Proses lahirnya anak-anak yang derhaka bukanlah berlaku secara mengejut tetapi ianya lebih merupakan proses yang beransur-ansur sehingga ianya tidak mengejutkan dan dianggap perkara biasa.
2. Komentar tentang ungkapan Imam al-Ghazali yang sering disalah tafsir iaitu tentang perbezaan di antara lelaki dan wanita mengenai akal dan nafsu/emosi. Di antara faktor yang melayakkan wanita menjadi ibu yang mengandung anak di dalam rahimnya selama lebih 9 bulan adalah kerana emosi dan kasih sayang serta kesabaran yang tinggi. Ustaz sempat membuat andaian sekiranya lelaki dipilih untuk mengandung, mereka akan merungut dan tidak akan sanggup untuk melakukannya untuk kali ke-2 atau ke-3.
3. Kisah Juraij yang kuat beribadat sehingga melukakan hati ibunya kerana tidak menyahut seruan ibunya yang datang berkunjung ke rumahnya sebanyak beberapa kali. Kemarahan ibu dan kemakbulan doanya telah menyebabkan Juraij mendapat ujian yang sungguh berat apabila difitnah melalukan zina dengan seorang pelacur sehingga melahirkan anak. Beliau bagaimanapun diselamatkan maruahnya apabila Allah swt mentakdirkan anak yang baru lahir tersebut dapat berkata-kata dan menceritakan perkara sebenarnya.
4. Ayat al-Qur’an dari surah al-Isra’ mengenai batas derhaka kepada ibubapa ialah dengan sebutan ‘uff’. Ustaz Hasrizal telah membuat kajian mengenai penggunaan perkataan ‘uff’ dalam masyarakat Arab. Hasil dari pemerhatian beliau, ‘uff’ dalam budaya Arab sama seperti bunyi ‘chtt’ yang biasa digunakan oleh masyarakat kita di Malaysia yang menandakan keengganan atau keluhan.
5. Anak-anak dilahirkan secara fitrah dan setiap seorang mempunyai potensi yang sama tidak kira dari keluarga mana sekalipun. Ibubapalah yang mencorakkan mereka menjadi individu tertentu.
6. Pemerhatian beliau mengenai perbezaan cara di antara masyarakat Barat dan Melayu dalam melayani karenah anak-anak. Dalam suatu perbualan yang sempat dirakamkan beliau, seorang bapa ‘orang putih’ sanggup melayan persoalan demi persoalan yang diutarakan oleh anaknya dan memberikan jawapan yang benar. Lain pula pengalaman kita di Malaysia yang mana ibubapa selalu memotong cakap anak-anak kerana sikap malas untuk melayan persoalan-persoalan mereka. Hasilnya di Barat, anak-anak yang dilatih berfikir sejak kecil sebilangannya menemui dan memeluk Islam. Dan di Negara kita, ketandusan ilmu dan kemalasan berfikir menyebabkan anak-anak muda meninggalkan agama.
7. Penekanan kepada bentuk-bentuk nafkah yang wajib diberikan kepada anak-anak untuk memastikan keseimbangan dalam pembentukan sahsiah – nafkah fizikal seperti makan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya, nafkah akal iaitu ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah, dan nafkah emosi iaitu kasih-sayang yang ikhlas.
8. Berilah masa dan ruang kepada anak-anak untuk mengutarakan pendapat mereka dan ibubapa memberi perhatian untuk mendengarnya.
9. Sebelum anak-anak menjadi penderhaka, hakikatnya, ibubapalah yang telah lebih dahulu menderhakai anak-anak mereka. Betapa ramai ibubapa yang kononnya sayang kepada anak-anak mereka tetapi hakikatnya menyediakan mereka untuk dibakar di dalam api neraka.
10. Anak-anak walaupun sekiranya tidak dapat mengasihi ibubapa mereka atas faktor-faktor tertentu, mereka masih wajib menjaga kebajikan mereka terutama semasa mereka di usia tua dan menghormati dan mentaati mereka kerana itu adalah tuntutan agama.
Sementara Dr Rubiah pula menerangkan beberapa point dengan cara penyampaian yang menarik.
1. Pertamanya beliau memberi komentar mengenai sambutan Hari Ibu. Secara peribadi, beliau tidak bersetuju Hari Ibu disambut sepertimana yang dibuat oleh masyarakat Islam hari ini kerana asal-usul Hari Ibu adalah dari amalan masyarakat Kristian iaitu sambutan hari 'Mother Mary' atau 'Tuhan Ibu'. Walaupun pengisian yang dibuat adalah baik dan menepati syarak, ‘bekas’ yang digunakan tetap bukan berasal dari Islam. Ini adalah satu dakyah Kristian untuk membuat masyarakat Islam terikut-ikut dengan budaya mereka, dan mereka gembira walaupun ianya tidak 100% sama seperti apa yang mereka lakukan.
2. Ibu perlu mendidik anak supaya taat kepada Allah swt terlebih dahulu sebelum mentaati ibu. Anak-anak perlu dididik menjadi hamba Allah yang sebenarnya. Merasai Allah swt sangat dekat dengan diri kita dapat mengawal diri kita bukan sahaja di dalam solat tetapi pada setiap masa.
3. Selain dari tiga nafkah yang telah disebutkan oleh Ustaz Hasrizal, Dr Rubiah menambah satu lagi jenis nafkah yang perlu diberikan oleh ibubapa iaitu nafkah rohani.
4. Dr Rubiah menekankan tiga persoalan yang perlu sentiasa difikirkan oleh setiap individu:
a. What do I think? Atau apa yang aku fikirkan sekarang? Umat Islam perlu sentiasa berfikir dan berfikiran positif. Melihat situasi sekeliling dan mencari-cari kesalahan orang lain tidak akan membawa sebarang kebaikan. Apa yang perlu difikirkan ialah apakah sumbangan yang dapat kita lakukan untuk memperbaiki keadaan.
b. How do I feel? Atau apakah perasaan saya? Selain berfikiran positif, kita juga perlu berperasaan positif.
c. Who am I? Atau siapa saya. Menyedari hakikat diri sebagai hamba Allah kita perlu melihat manusia lain sebagai hamba Allah, dan tugas kita adalah menyampaikan dan menasihati dengan ikhlas.
5. Dalam menjawab persoalan dari hadirin mengenai perbezaan di antara nasihat dan leteran, beliau menekankan bahawa leteran datang dari emosi. Nasihat perlu datang dari hati yang ikhlas. Beliau memberi beberapa contoh teguran atau nasihat yang ikhlas, selalunya dilakukan dalam nada suara yang rendah tetapi menusuk ke hati pendengarnya. Penggunaan suara yang tinggi/lantang tidak semestinya mendatangkan apa-apa hasil yang diharapkan.
6. Dalam memberi respon kepada komentar dari seorang ibu tunggal mengenai permasalahan anak-anak lelaki, Dr Rubiah menegaskan bahawa masalah hari ini dihadapi oleh kedua-dua jantina berdasarkan kepada pengalaman beliau mengendalikan sesi kauseling.
7. Beliau juga sempat membawa contoh di mana ibubapa tidak seharusya memberi layanan yang berbeza kepada anak-anak, dan jangan sekali-kali melabelkan mereka. Dalam satu kisah benar yang melibatkan keluarga yang kesemua anaknya berpelajaran tinggi kecuali seorang adik yang tercicir. Ibubapa it dengan mudah melabelkan anak yang tercicir tersebut sebagai ‘tidak menjadi’. Abang dan kakak lain yang berpangkat besar akhirnya sering tiada masa untuk menziarahi ibubapa hatta apabila mereka sakit sekalipun. Adik yang ‘tidak menjadi’ itulah yang bekerja sebagai pemandu teksi, yang kerap menjadikan teksinya sebagai kenderaan untuk membawa ibubapa yang uzur untuk mendapat rawatan sehinggalah keduanya meninggal dunia, dan akhirnya dikebumikan tanpa menanti kepulangan abang-abang dan kakak-kakak. Apalah faedahnya mereka datang untuk melihat mayat sedangkan mereka tiada masa untuk menziarahi ibubapa mereka sewaktu mereka masih hidup.
8. Dari segi teorinya, masyarakat Barat telah mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang serba lengkap tetapi akhirnya mereka menjadi golongan yang mengabaikan kebajikan ibubapa mereka apabila tua. Ketandusan pendekatan kerohanian dan hubungan dengan Allah swt adalah diantara punca utama kepada permasalahan ini.
YB Khalid Samad yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam sempat tiba di lokasi lebih kurang 20 minit sebelum pogram berakhir. Beliau sempat menjadi mangsa ceramah Dr Rubiah kerana datang seorang diri tanpa membawa isteri. Penutup majlis dilakukan oleh Ustaz Hasrizal dengan bacaan doa yang dibaca dalam dwibahasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment